Thursday, March 21, 2019

Tinggalan Bahagian Kapal Wap Jepun di Kampung Seniawan Jepon, Serian

Kampung-kampung berdekatan dengan kampung saya (kampung Mang, Kota Samarahan) merupakan antara kampung yang memiliki pelbagai tinggalan sejarah. Hal ini demikian kerana kawasan kami dahulu pernah menjadi saksi bertapaknya empayar milik keluarga Brooke, Jepun dan diakhiri oleh pihak Parti Komunis Malay (PKM). 

Antara tinggalan Jepun yang masih dapat kita lihat sehingga ke hari ini alah tinggalan bahagian kapal wap milik Jepun. Tinggalan tersebut dapat kita lihat tatkala melalui jalan utama kampung Seniawan Jepon menuju ke Kampung Mang Seberang. Terdapat sebuah objek yang bentuknya seakan seperti sebuah tangki besi. Objek tersebut merupakan antara bahagian kapal wap milik Jepun yang pernah digunakan untuk membakar kayu api sebelum kapal Jepun berlayar. Hal ini demikian kerana sungai yang berdekatan dengan tinggalan kapal wap itu suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat kapal Jepun berlabuh.


Thursday, October 27, 2016

TINGGALAN PENJAJAH BELANDA DI PULAU PANGKOR

                                           
                                            Alhamdulillah, bulan lepas berpeluang jugak membawa ibu dan ayah melawat Pulau Pangkor, Perak. Pulau yang terkenal dengan keindahan pantainya itu turut menyimpan cerita sejarahnya yang tersendiri lantaran pernah diduduki oleh penjajah Belanda dan Inggeris. Belanda datang di Perak dan membina kota di Pulau Pangkor lantaran mengetahui kekayaan bijih timah yang terdapat di bumi Perak. Cerita tentang kedatangan Belanda dirakamkan oleh Raja Chulan dalam karya agung baginda yang bertajuk "Misa Melayu". Selepas Belanda, datang pula penjajah Inggeris meyambung delegasi penjajahan Belanda. Kasihan kita. Habis hasil bumi kekayaan tanah air kita dirompak oleh mereka. Belajar daripada sejarah. Bangsa yang melupakan sejarah pasti akan mengulangi kesilapan yang sama.


                                            Saya, kakak, ibu dan ayah memulakan perjalanan ke pulau pangkor pada waktu pagi dan bercadang untuk balik semula ke Lumut sebelum malam. Kami menaiki feri dari jeti Marina untuk ke sana. Tambang seorang RM10 untuk pergi dan balik. Sampai di sana, saya terus menyewa sebuah perodua viva. Berpatutan jugalah sewanya iaitu RM60 untuk setengah hari. Kalau motosikal RM30. Isi minyak RM5 pun dah cukup untuk pusing satu pulau tu. Pulau Pangkor kecik je sebab pulau tu bukan macam Pulau Langkawi. Ni lah gambar kenang-kenangan yang sempat dirakamkan di Kota Belanda. 




SANTUBONG. BERSEMADINYA SULTAN PERTAMA DAN TERAKHIR SARAWAK

Dirgahayu SANTUBONG : Bersemadinya Sultan Sarawak  yang Pertama dan Terakhir

                     
             Tatkala terbaca tentang sejarah sultan Sarawak berketurunan Brunei Darussalam yang bergelar Sultan Tengah, hati meronta-ronta ingin ke Santubong. Teringin betul nak lihat sendiri makam baginda. Baginda merupakan sultan Sarawak yang pertama dan terakhir. Ya. Kerajaan Sarawak dahulu pernah memiliki sultannya yang tersendiri. Jika negeri Kedah, Johor, Melaka, Terengganu dan Selangor ada sultan, negeri Sarawak pun ada sultan rupanya. Walau bagaimanapun, pemerintahan baginda tidak lama kerana akhirnya baginda telah mangkat di Santubong (ada sumber yang mengatakan bahawa baginda mangkat kerana mati dibunuh oleh pengikut sendiri). Kesempatan cuti hujung minggu kali ini digunakan oleh saya untuk ke Santubong. Alang-alang ke Semariang temankan kakak membeli-belah di Mydin, terus ambil kesempatan tu untuk ke Santubong yang terletak tidak jauh dari situ. 

        Makam baginda Sultan Tengah tu terletak tidak jauh daripada balai polis Santubong. Kedudukannya di atas bukit. Semasa memandu ke sana, saya terlepas simpang lalu terpaksa berpatah balik untuk ke situ. Semasa kami tiba di sana, keadaan sekeliling sunyi, cuma sekali-sekala ada kereta dan motosikal yang lalu-lalang. Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat untuk menziarahi makam baginda. Terdetik juga di hati, andainya baginda dahulu tidak mati dibunuh, mungkin delegasi pentadbiran baginda kekal sehingga hari ini seperti mana kesultanan Brunei yang ada di Negara Brunei Darussalam. Wallahualam. Allah lebih mengetahui. 

Papan tanda petunjuk makam Sultan Tengah di tepi jalan

Cantik. Tempat terletaknya makam baginda

Makam baginda Sultan Tengah

Alhamdulillah. Akhirnya tercapai jugak hasrat untuk menziarahi makam baginda. Al-Fatihah

Sudut maklumat yang menceritakan tentang sejarah baginda Sultan Tengah

Tenang suasana di sekitar makam baginda

Jalan raya berhadapan makam baginda. Jangan terlepas simpang ye

Waktu melawat untuk para pengunjung















Wednesday, October 26, 2016

INDAHNYA SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU...

INDAHNYA SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU...

          Bangsa Melayu sejak zaman dahulu lagi terkenal sebagai sebuah bangsa yang hebat. Tidak percaya? Kajilah teks Sulalatus Salatin (susunan Tun Sri Lanang) yang menceritakan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka. Dalam teks tersebut, digambarkan tentang kepandaian orang Melayu dalam mentadbir kerajaan (sehingga terkenal ke seluruh pelosok dunia), kehebatan membuat dan bermain senjata seperti keris. Malahan, orang Melayu juga mahir dalam ilmu pertukangan. Hal ini dapat dilihat semasa kerja-kerja pembinaan istana Sultan Mansur yang telah dilakukan oleh rakyat jelata. Istana itu digambarkan cukup indah dengan seni binanya yang tersendiri.

          Pada kali ini, saya ingin berkongsi beberapa jenis gambar rumah tradisional Melayu yang cukup indah dan berseni. Jelas menggambarkan bahawa nenek moyang orang Melayu dahulu kala sememangnya cukup teliti dalam membuat kerja-kerja pertukangan. Gambar diambil semasa saya berada di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia dan di Kampung Iboi, Sadong Jaya, Sarawak. 

Rumah Melayu Negeri Sembilan

Rumah Melayu Pahang 


Rumah Melayu Terengganu

Rumah Melayu Bugis Sarawak








 

Monday, October 24, 2016

KERAJAAN NEGERI SAMARAHAN-SADONG.

KERAJAAN NEGERI SAMARAHAN-SADONG. KERAJAAN SILAM YANG KIAN DILUPAKAN.


            Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi serba sedikit sejarah berkenaan sebuah kerajaan silam iaitu Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong. Saya sebenarnya telah lama ingin membuat perkongsian tentang perkara ini memandangkan maklumat tentang daerah Kota Samarahan apatah lagi cerita berkaitan kerajaan silam itu amatlah kurang diketahui oleh masyarakat. Jika hal itu ditanya kepada golongan muda yang tinggal di Kota Samarahan, pasti ramai yang terpinga-pinga tidak tahu. Ayuh warga Samarahan, mari kita terokai sejarah nenek moyang kita dahulu. Dahulu, daerah Kota Samarahan kita ini pernah wujud sebuah kerajaan iaitu kerajaan Negeri Samarahan-Sadong. Jika kita perasan, perkataan "kota" yang terdapat pada awal nama Kota Samarahan sebenarnya menunjukkan tempat itu suatu ketika dahulu pernah memiliki kerajaan sendiri. Perbandingan ini dapatlah kita lihat seperti kewujudan kerajaan di Kota Tinggi, Johor, Kota Star, Kota Kuala Muda  

            Kita sedia maklum bahawa sebelum perjajahan James Brooke ke atas sarawak, wilayah tersebut merupakan salah satu wilayah milik kesultanan Brunei Darussalam. Para pemerintah kesultanan Brunei mentadbir Sarawak dengan bantuan para pembesar Brunei.


            Peninggalan kerajaan Negeri Samarahan-Sadong yang masih dapat kita lihat hingga hari ini tidak banyak. Mungkin kerana sejak penguasaan Brooke hinggalah ke hari ini, tiada usaha yang dilakukan untuk menjejaki tinggalan kerajaan silam itu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tinggalan yang masih ada hingga hari ini yang kononnya dikaitkan dengan kerajaan Negeri Samarahan-Sadong. Antaranya ialah kewujudan makam lama di tanah perkuburan Islam Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan (berdekatan Pejabat Daerah Kota Samarahan). Berdasarkan papan tanda yang tertera di simpang jalan masuk ke tanah perkuburan itu, makam itu milik Yang Mulia Pangeran Omar Ali Bin Pangeran Mohamad. Saya sempat singgah ke makam tersebut. Alhamdulillah, makam itu masih terpelihara elok dengan dibuat pagar dan bumbung. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pemilik makam tersebut daripada golongan bangsawan. Jika anda ke sana, mudah untuk dicari makam itu kerana keberadaannya yang agak berbeza daripada kubur lain yang terdapat di situ. Daripada sumber yang diperoleh daripada facebook, dikatakan bahawa waris keturunan Pangeran Omar Ali itu masih ada lagi di Kampung Muara Tuang. Salah seorang penduduk di situ yang bernama Awang Menteri didakwa sebagai warisnya. Saya berharap agar nanti dapat berjumpa sendiri dengan beliau. Mungkin sedikit sebanyak maklumat tentang Pangeran itu dapat saya perolehi. Insya-Allah. 
Makam Yang Mulia Pangeran Omar Ali bin Pangeran Mohamad di tanah perkuburan Islam   Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan



                                                                                                                           bersambung...


SURAT RASMI PERMOHONAN UNTUK MEWAKILKAN INDIVIDU LAIN BAGI URUSAN PENGAMBILAN JUBAH KONVOKESYEN

Norhairunisa Binti Ahmad,
No. 27, Kampung Mang,
94300 Kota Samarahan,
Sarawak.
 


Bahagian Kemasukan & Bahagian Urus Tadbir Akademik,
Tingkat 1,
Bangunan Pentadbiran,
Universiti Putra Malaysia (UPM),
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan.                                                                             14 OKTOBER 2016

Tuan,

PERMOHONAN UNTUK MEWAKILKAN INDIVIDU LAIN BAGI URUSAN PENGAMBILAN JUBAH KONVOKESYEN.

Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk.

2. Saya ingin memaklumkan kepada pihak tuan bahawa saya tidak dapat hadir pada hari pengambilan jubah konvokesyen pada 15 Oktober hingga 20 Oktober 2016 nanti. Hal ini demikian kerana saya terikat dengan waktu bekerja serta tidak mendapat kelulusan cuti pada tarikh berkenaan.

3. Oleh itu, saya ingin memohon kepada pihak tuan agar pengambilan jubah itu dapat dilakukan oleh wakil saya. Sehubungan itu, saya telah mewakilkan kawan saya iaitu Shaharniza Binti Bujang Saili (No. Matrik 167172) untuk urusan tersebut. Saya telah menyerahkan lampiran berikut kepada beliau untuk rujukan pihak tuan :

            i. Salinan resit bayaran yuran konvokesyen
            ii. Salinan borang pakaian akademik Majlis Konvokesyen UPM ke-40
            iii. Salinan slip Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi

4. Saya amat berharap agar permohonan saya ini mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada pihak tuan. Segala kerjasama daripada pihak tuan amatlah dihargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih.


Yang Benar,
.................
Norhairunisa Binti Ahmad.




Thursday, October 6, 2016

Nuri Terhempas Lagi! Tragedi Hitam Berulang Kembali

          Pada 4 Oktober 2016 (Selasa) yang lalu, dua hari selepas kita baru merayakan tahun baru Hijrah 1438, negara kita kecoh. Kecoh lantaran tragedi terhempasnya helikopter Nuri milik TUDM. Perkara yang lebih mengejutkan ialah helikopter itu terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau.  Nahas udara itu bukan sahaja telah mencederakan 14 orang anggota tentera malah seramai 5 orang pelajar turut dilaporkan cedera. 

          Meskipun tragedi itu masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun bagi rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan isu semasa negara, pasti ramai yang tahu bahawasanya kejadian Nuri terhempas seperti ini bukanlah perkara baru. Hal ini demikian kerana beberapa tahun yang sudah, kejadian yang sama juga telah berlaku dan telah mengakibatkan banyak kecederaan dalam kalangan anggota tentera kita malah turut membawa kematian. 

          Saya mengikuti kisah terhempasnya Nuri bukan hanya yang berlaku kali ini malah yang telah berlaku di Lundu, Sarawak, Genting Sempah, Pulau Perak dan lain-lain lagi. Mungkin ada benarnya, antara punca tragedi hitam itu berulang adalah kerana helikopter Nuri milik TUDM sudah uzur. Ada pihak yang mengatakan bahawa Nuri adalah helikopter yang dibeli daripada aset terpakai ataupun dalam istilah lain helikopter "second hand" yang dibeli untuk kegunaan pasukan pertahanan negara kita. Almaklumlah barangan terpakai, pasti akan ada masalahnya yang tersendiri. Sedangkan kalau kita membeli kereta atau motosikal terpakaipun, pasti ada masalahnya, inikan pula helikopter terpakai.

          Wahai yang berhormat menteri-menteri yang bijak pandai, sudah masanya kita menambahbaik fasiliti pertahanan kita. Perutukan kewangan negara bukannya tiada. Pengurusan sumber kewangan dengan bijak adalah perlu untuk memantapkan pertahanan negara daripada wang negara dibazirkan ke arah yang tidak bermanfaat. Jangan nanti jika musuh datang melanggar negara kita, kita hanya bertahan dengan aset pertahanan yang tidak seberapa. Natijahnya, negara kita akan mudah jatuh ke tangan musuh. Jika waktu itu baru semua pihak sibuk menunding jari menyalahkan antara satu sama lain, segala-galanya tidaklah berguna lagi.

#saya sayang Malaysia.