Nuri
Terhempas Lagi! Tragedi Hitam Berulang Kembali
Pada 4 Oktober 2016 (Selasa) yang
lalu, dua hari selepas kita baru merayakan tahun baru Hijrah 1438, negara kita
kecoh. Kecoh lantaran tragedi terhempasnya helikopter Nuri milik TUDM. Perkara
yang lebih mengejutkan ialah helikopter itu terhempas di atas bumbung Pusat
Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau. Nahas
udara itu bukan sahaja telah mencederakan 14 orang anggota tentera malah
seramai 5 orang pelajar turut dilaporkan cedera.
Meskipun tragedi itu
masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun bagi rakyat Malaysia yang mengikuti
perkembangan isu semasa negara, pasti ramai yang tahu bahawasanya kejadian Nuri
terhempas seperti ini bukanlah perkara baru. Hal ini demikian kerana beberapa
tahun yang sudah, kejadian yang sama juga telah berlaku dan telah mengakibatkan
banyak kecederaan dalam kalangan anggota tentera kita malah turut membawa
kematian.
Saya mengikuti kisah
terhempasnya Nuri bukan hanya yang berlaku kali ini malah yang telah berlaku di
Lundu, Sarawak, Genting Sempah, Pulau Perak dan lain-lain lagi. Mungkin ada
benarnya, antara punca tragedi hitam itu berulang adalah kerana helikopter Nuri
milik TUDM sudah uzur. Ada pihak yang mengatakan bahawa Nuri adalah helikopter
yang dibeli daripada aset terpakai ataupun dalam istilah lain helikopter
"second hand" yang dibeli untuk kegunaan pasukan pertahanan negara
kita. Almaklumlah barangan terpakai, pasti akan ada masalahnya yang tersendiri.
Sedangkan kalau kita membeli kereta atau motosikal terpakaipun, pasti ada
masalahnya, inikan pula helikopter terpakai.
Wahai yang berhormat
menteri-menteri yang bijak pandai, sudah masanya kita menambahbaik fasiliti
pertahanan kita. Perutukan kewangan negara bukannya tiada. Pengurusan sumber
kewangan dengan bijak adalah perlu untuk memantapkan pertahanan negara daripada
wang negara dibazirkan ke arah yang tidak bermanfaat. Jangan nanti jika musuh
datang melanggar negara kita, kita hanya bertahan dengan aset pertahanan yang
tidak seberapa. Natijahnya, negara kita akan mudah jatuh ke tangan musuh. Jika waktu
itu baru semua pihak sibuk menunding jari menyalahkan antara satu sama lain, segala-galanya
tidaklah berguna lagi.
#saya sayang Malaysia.
No comments:
Post a Comment